Sejarah Penubuhan
SMU(A) Khairiah Padang Pak Amat merupakan salah sebuah sekolah agama yang tertua di jajahan Pasir Puteh. Sekolah ini diasaskan oleh masyarakat Kampung Padang Pak Amat dan telah dipelopori oleh Al-Marhum Penggawa Daerah Batu Sebutir, iaitu Abdul Kadir b. Awang yang dikenali dengan panggilan Ayah Din pada tahun 1938 diatas tapak tanah yang diwakafkan berhampiran Masjid Padang Pak Amat sekarang.
Penubuhan sekolah ini adalah usaha bersama masyarakat Kampung Padang Pak Amat hasil sumbangan mereka yang berupa tenaga, wang ringgit serta mendapat sedekah kayu dari Masjid Muhammadi yang dirobohkan untuk didirikan bangunan baru. Dengan itu terbinalah sebuah bangunan yang mengandungi 3 bilik darjah, iaitu kelas 1 hingga kelas 3 dengan gurunya seramai 3 orang. Pada masa itu, bilangan murid semasa dibuka seramai 30 orang. Kemudiannya bertambah kepada 120 orang dengan kelas dibuka pagi dan petang.
Pada mulanya sistem pelajaran sekolah ini berasaskan sukatan pelajaran yang diarahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan(MAIK). Memandangkan sekolah ini bertambah maju dan mendapat sambutan daripada orang ramai si sekitar daerah itu, maka dalam satu Mesyuarat yang dipengerusi oleh Pegawai Ayah Din dengan dipersetujui ramai maka sekolah ini diberi nama Al Madrasah Al Ibrahimiah Al Khairiah. Tambahan pula mendapat perkenan dan limpah kurnia Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Kelantan pada masa itu mengizinkan kepada Ayah Din menamakan sekolah itu sempena nama beliau.
Memandangkan pada masa itu murid semakin bertambah, maka 3 orang guru ditambah lagi. Pendapatan guru pada masa itu dibayar oleh MAIK sebanyak RM 24 setiap orang sebulan. Kemajuan sekolah ini makin bertambah tetapi malangnya pada tahun 1941 berlaku peperangan dunia ke-2 maka pada tahun 1942 sekolah ini ditutup untuk sementara waktu dan dibuka semula pada tahun 1945 setelah tamat perang oleh Abdullah b. Abdul Rashid cucu kepada Ayah Din. Pada masa itu, para pelajar datang dari Kg. Padang Pak Amat, Kg. Merkang, Kg. Batu Sebutir, Kg. Wakaf Berangan, Kg. Wakaf, Kg. Sungai Kelong, dan lain-lain. Sehingga awal tahun 50-an, bilangan pelajar berkurangan. Keadaan ini bukanlah berlaku di sekolah ini sahaja malah seluruh sekolah agama di negeri Kelantan. Oleh itu, sekolah ini terpaksa ditutup sekali lagi untuk sementara waktu.
Pada tahun 1957 dengan usaha yang gigih serta semangat cinta kepada agama Islam dan perasaan sayang kepada anak-anak muda yang masih kekurangan pengetahuan agama Islam. Maka justeru itu beberapa orang anak tempatan yang asalnya pelajar daripada pelbagai sekolah sanggup mencurahkan tenaga dan ilmu pengetahuan.
Berkat daripada pegorbanan dan perjuangan Ayah Din (Pengerusi) tadi bersama AJKnya, maka sekolah ini terus maju sehinggalah sekarang. Kini pentadbirannya diserahkan kepada Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan (YIK). Setelah mengalami pertumbuhan dan perkembangan selama 83 tahun kini mula menerokai alam kedewasaan dan telah berkembang dari segi fizikal, enrolmen dan taraf atau peringkat pengajian akademik.



SENARAI PENGETUA-PENGETUA YANG BERKHIDMAT
NO.
|
PENGETUA
|
TEMPOH PERKHIDMATAN
|
1. | Ustaz Abd Rab Al-Tamimi | 1938 |
2. | Ustaz Wan Sulaiman bin Hj. Wan Ibrahim | 1938 – 1945 |
3. | Ustaz Abdullah bin Abd Rashid | 1945 – 1957 |
4. | Ustaz Hj. Zainal Abidin bin Idris | 1957 – 1965 |
5. | Ustaz Hj. Mohd Hassan bin Ahmad | 1965 – 1972 |
6. | Ustaz Yusuf bin Mat Shah | 1972 – 1980 |
7. | Ustaz Abd Ghani bin Abd Rahman | 1980 |
8. | Ustaz Hussain bin Ahmad | 1981 |
9. | Ustaz Ramli bin Abd Rahman | 1982 |
10. | Ustaz Sulaiman bin Awang | 1983 – 1985 |
11. | Ustaz Abd Aziz bin Ismail | 1985 – 1990 |
12. | Ustaz Hj. Raja Abd Ghani bin Raja Soh | 1990 – 1994 |
13. | Ustaz Wan MahmoodbBin Hj. Daud | 1994 – 1999 |
14. | Ustaz Rusdi bin Ariffin | 1999 – 2000 |
15. | Ustaz Izzudin bin Ahmad | 2000 – 2001 |
16. | Ustaz Ahmad Suzani bin Jaafar | 2001 – 2005 |
17. | Ustaz Borhan bin Ghazali | 2006 – 2007 |
18. | Ustaz Ahmad Zaki bin Mat Noor | 2008 – 2010 |
19. | Ustaz Che Hashim Bin Mahmud | 2011 – 2013 |
20. | Ustaz Ahmad Suzani Bin Jaafar | 2014 – 2019 |
21. | Ustaz Ahmadi Bin Mohamad | 2019 – sekarang |